Tuesday, November 17, 2009

Sehari di Daerah Lama

Hari ini aku pulang. Setelah habis mengemas dan menyelesaikan urusan pendaftaran keluar asrama, aku terus ke Mushroom. Rehat sebentar dan terus berangkat ke Arau. Tiket yang berharga RM2.60 dijadikan wadah menghubung kembali silaturrahim, dan menunai janji.

Aku pernah berjanji pada Sir Sirhan bahawa aku akan kembali ke KMKN, dan hari ini aku telah tunaikan. Aku melihat banyak perubahan sepanjang perjalanan ke kolej. Laluan yang dulunya lurus kini berliku-liku. Mungkin kerana banjir yang kian kerap melanda kawasan itu membuatkan jalanraya menjadi rapuh, maksud aku, struktur tanahnya mudah pecah. Maka dibuat jalan baru.

Di hadapan kolej, aku dikejutkan lagi. Gerbang Kolej sudah berubah daripada dua pintu menjadi satu, dan dibina ke dalam sedikit. Kawasan kolej yang sedia kecil itu dikecilkan lagi, tetapi tidaklah sampai menjejaskan suasana pembelajaran. Suasananya malah lebih mendamaikan. Lebih kondusif. Aku jadi rindu untuk kembali ke sana.

Orang yang pertama aku jumpa adalah Sir. Yalah, untuk membuktikan bahawa aku tidak memungkiri janjiku. Ternyata dia tengah sibuk benar menguruskan program PRD. Salamku disambut dengan permintaannya supaya aku menolong memasukkan surat ke dalam sampul. Aku tertawa kecil. Langkah kiri sungguh. Tapi aku bantu juga, lagipun setakat dua, tiga keping surat itu tidak menjadi masalah bagiku.


Sir menegur cara aku melipat surat. Lambat, katanya. Mujur saja dia tidak keluarkan ayat “So siput!”. Aduhai! Aku sudah lama tidak membuat kerja perkeranian seperti itu. Dalam kesibukannya sempat juga dia melayanku seperti dahulu. Dia belum berubah. Walau keletihan, wajahnya tetap ceria.

Kemudian aku turun ke bilik guru sains mencari Miss Nurul. Dia tidak ada di tempatnya. Aku kirakan dia masih di kelas, jadi aku berbual dengan Sir Halim sementara menunggunya. Sir Halim masih mengingatiku, dan dia menyebut nama penuhku. Aku senyum saja. Banyak juga yang ditanyanya tentang aku dan teman-temanku, hingga kadangkala aku tidak terjawab soalannya.

Jam 1.15, aku keluar dari bilik guru sains dan berlarian anak ke Koperasi. Kakak penjaga koperasi itu masih mengenaliku. Aku beli dua Cadbury Zip dan satu Cadbury Mixed Nut kecil yang biasa kubeli dengan harga RM1.89 dahulu. Sekarang harganya sudah naik ke RM2.20. Sempat juga aku mencapai dua kotak susu Dutch Lady, Full Cream dan Low Fat Milk. Sekarang aku sakit perut. Padan muka aku. Hahaha..

Sekembalinya dari koperasi, aku nampak Miss Nurul sedang melayan dua pelajarnya. Juniorku pastinya. Aku beri salam dan dia terpana melihatku. Langsung disuruhnya pulang dua pelajar itu yang sebenarnya sudah selesai urusan dengannya. Aku letakkan satu Cadbury Zip di atas mejanya, seperti yang selalu aku lakukan setiap hari dahulu. “Ingat lagi rupanya,” katanya. Senyum itu amat membahagiakanku.

Belum lama aku berbual, lalu pula Sir Hazuar, yang dulu mengajarku Biologi berselang kelas dengan Sir Halim. Aku diam saja melihatnya. “Macam kenal,” katanya.

Banyak juga yang aku perkatakan dengan Miss Nurul. Dia agak sibuk waktu itu dan menolak ajakan teman-temannya untuk makan bersama. Aku ikut saja ke mana dia mengajakku. Beberapa ketika, dia mengajak aku ke bilik Sir untuk mengambil borang program mentor mentee. Di sana aku terserempak Ustazah Rodziah yang menyelia aku semasa program penghayatan Al-Quran. Sebentar saja aku sempat bercakap, sekadar berbasa-basi.

Aku biarkan Miss Nurul dengan tugasnya seketika. Kulihat Sir Hazuar masih di tempatnya. Aku mendekat. Penampilannya sudah berubah selepas bernikah. Dulu dia selalu mengemaskan rambutnya yang dipotong pendek sesuai dengan jambang, dan hari ini aku lihat agak serabai tetapi masih kemas. Dia memang seorang yang menjaga penampilan diri.

Aku tinggalkan dia dengan alasan hendak pulang. Tapi bila aku ajukan pada Miss Nurul, “Nantilah dulu. Duduk. Nanti Teacher hantar,”. Aduh, bagaimana harus aku menolak permintaan (dan tawaran) pensyarah kesayanganku ini? Aku duduk di sampingnya. Masih banyak yang kami bualkan. Aku lihat dia membuka Facebook, bermain FarmVille. Perangai anak-anaknya belum berubah lagi.

Jam dua setengah, dia mengajakku keluar. Dia memandu dalam hujan. Sekali kami hampir berlanggar dengan motosikal. Tiba di Alor Setar jam 3.30 petang. Kami ke City Plaza, makan di McD. Aku ingin membayar, tapi dia menghalang. Setelah makan, kami ke gerai baju. Dia rambang mata juga melihat baju yang asalnya berharga RM199 dikurangkan menjadi RM 35. Aku mahu belikan satu untuk ibu, tapi aku batalkan kerana aku kirakan lebih baik aku belikan barang bayi saja nanti. Baju berfesyen seperti itu tidak mungkin ibu pakai. Menjadi perhiasan almari saja.

Di sebelah gerai baju itu ada satu gerai menjual hamster Golden yang sudah lama aku idamkan. Mengenangkan ibu yang mengandung, dan hamster hitam ayah yang dihalau keluar dari rumah, aku tidak membeli. Mungkin lain kali saja. (Dah mati rupanya.. Ow..)

Pukul 5, Miss Nurul menghantar aku ke stesen. Di sana kami terpisah, tapi kenangan hari ini tidak mungkin kulupakan. Dia pensyarahku yang terbaik, malang saja dia tidak dapat membuatkan aku memahami kalkulus. (Hahaha..) Sepanjang jalan aku terkenangkan itu.

Ah, sudahlah. Aku hendak ke koc S1, koc katil, menemui teman baruku dari Kanada. Pasti banyak lagi yang akan aku dapat hari ini.

Lagi 10 hari, Az, kalau kau baca. Aku masih ingat.

2 comments:

SieRRa183 said...

salam hawa...
hng g kmkn ke? bestnye...
ko tau aq nak nangeh ble bce ko nye post ni...aq rndu gler kat mtrx kte dlu...ngn kwn klas kte dlu...huhuhu!!bnyk knangn kat sne...memori trindah...aq rndu la kat hang hawa...hopefully, 1 ari nnti kte bleh jmpe blik...ngn dayah skali...hehe!!k la...aq chow lu...daaa...tc hawa...t.w.m.a!!

Anonymous said...

seronoknya boleh kembali ke tempat asal, hmmm, Hawa jarang online FB ya, apa-apa pun semoga urusan seharian dipermudahkan.