
Kerana Sebiji Epal (bukan kisah tulisan Faisal Tehrani!)
Ini kisah cinta yang paling HaWa suka. Tak jemu walaupun berulangkali dibaca. Sila hentikan muzik kalau mengganggu. HaWa sudah sedaya upaya mencari peranti yang boleh dihentikan. HaWa sendiri tak suka kalau ada blog yang pasang lagu auto-main yang tak boleh dihentikan.
Rabbani - Cari Pasangan
Seorang lelaki menyusuri sebatang sungai. Pandangannya ditebarkan ke kawasan sekitar yang tenang dan damai. Sambil itu, lidahnya tidak berhenti-henti berzikir.
Setelah beberapa ketika, lelaki itu melihat sebiji epal hanyut bersama arus. Epal yang hanyut itu diambil lalu dimakan. Apabila selesai makan, lelaki itu baru tersedar bahawa dia belum meminta izin daripada pemilik epal itu.
Pemuda itu berjalan ke hulu sungai sehingga terjumpa sebuah ladang epal.
Dia berbisik sendirian, "Sudah tentu buah epal itu jatuh dari sini. Saya mesti bertemu dengan tuannya,"
Pemilik ladang itu memerhatikan keadaan anak muda yang datang bertemunya. Dalam fikirannya penuh tanda tanya.
"Saya mohon maaf dan minta dihalalkan sebiji epal yang saya makan," pinta pemuda itu lalu menceritakan segala hal keterlanjurannya memakan sebiji epal tanpa izin pemiliknya.
Sebaik sahaja pemuda itu selesai bercerita, pemilik ladang epal itu tersenyum. Pemuda itu ternanti-nanti jawapan yang akan diucapkan oleh pemilik ladang itu.
Pemilik ladang lalu berkata, "Saya boleh maafkan saudara dengan satu syarat,"
"Katakanlah apa syarat itu,"
"Saya mahu saudara bekerja di ladang ini selama dua belas tahun,"
Tanpa banyak soal, pemuda itu menerima syarat yang ditetapkan oleh pemilik ladang tersebut.
Selama tempoh dua belas tahun yang ditetapkan oleh pemilik ladang itu, pemuda tersebut bekerja dengan tekun dan amanah sehingga tuan ladang itu tertarik dengan kelakuannya. Dia berhasrat menjadikan pemuda itu sebagai menantu.
Pemuda itu datang sekali lagi bertemu dengan si pemilik ladang apabila tamat tempoh dua belas tahun.
"Saya sudah menunaikan syarat tuan. Saya pohon tuan halalkan epal yang saya makan itu,"
Pemilik ladang itu mengenakan satu lagi syarat kepada pemuda tersebut.
"Saudara mesti mengahwini puteri saya,"
Tergamam pemuda tersebut dibuatnya.
"Tetapi biarlah saya berterus terang akan keadaan puteri saya itu,"
"Katakanlah,"
"Puteri saya seorang yang lumpuh, pekak, buta dan bisu. Mahukah saudara mengahwininya sebagai syarat yang kedua bagi saya memaafkan saudara?"
Pemuda itu termenung sejenak. Akhirnya dia memandang ke arah tuan ladang dan memberikan sebuah senyuman.
"Saya mengahwini puteri tuan sekiranya tuan menghalalkan sebiji epal yang saya makan tanpa izin dua belas tahun yang lalu,"
"Baiklah, saya halalkan sebiji epal itu sekiranya saudara mengahwini puteri saya,"
Pemilik ladang yang sejak awal telah terpikat dengan keperibadian pemuda itu menarik nafas lega mendengar jawapan yang diterimanya.
Dia berbisik di dalam hati, "Memang dialah orang yang layak mengahwini puteriku,"
Majlis perkahwinan antara pemuda itu dengan puteri pemilik ladang dilangsungkan pada tarikh yang ditetapkan. Pada malam perkahwinan, pemuda itu masuk ke bilik pengantin dan memberi salam kepada isterinya yang tidak pernah dilihat sebelum ini. Sebaik sahaja isterinya menoleh menyambut salamnya dan melihat ke arahnya, pemuda itu terkejut. Segera dia meninggalkan bilik itu dan mencari bapa mertuanya.
"Ayahanda, mungkin saya tersilap orang. Adakah perempuan lain di bilik itu? Di manakah isteri saya yang lumpuh, pekak dan bisu itu?"
Pemilik ladang epal itu tersenyum mendengar pertanyaan pemuda itu yang jelas sekali cemas dengan apa yang berlaku.
"Anakku, perempuan yang berada di dalam bilik pengantin itulah puteri saya,"
"Bukankah isteri saya lumpuh, pekak dan bisu?"
Pemilik ladang itu mengangguk dan tersenyum.
"Saya katakan dia lumpuh kerana tidak pernah menjejakkan kaki ke tempat maksiat.
Saya katakan dia pekak kerana tidak pernah mendengar perkara yang terlarang.
Saya katakan dia buta kerana tidak pernah melihat perkara yang haram.
Saya katakan dia bisu kerana dia tidak pernah menuturkan sesuatu yang sia-sia,"
Barulah pemuda itu berasa tenang. Segera dipanjatkan syukur.
"Kembalilah ke bilik dan temui isterimu,"
Begitulah kisah pertemuan ayah dan ibu seorang ahli agama yang diberi nama Sheikh Abdul Kadir Jailani.
Kisah yang sama telah diilhamkan oleh kumpulan Rabbani dalam lagu Cari Pasangan.
4 comments:
Haah dulu Touya pernah dengar pasal kisah nie .
Touya dengan kisah nya...... hehehe
kisah cinta yg sweet cm epal...
hopefully..
aq pon akn dpt kisah cnta sndri yg cmni...
hehehe!!!
so sweeeettt...
lama tak dengar lagu rabbani nie..time sekolah dulu femes lagu ni...hehe
Post a Comment