Friday, August 07, 2009

Ingin Tahu 2

SalaAm..

Pasti banyak lagi fakta yang tidak dapat disingkap oleh sejarawan kita dan aku berharap aku menjadi sebahagian daripada mereka yang berusaha mencari keagungan tamadun Melayu supaya anak-anak generasi baru ini membuka mata dan tidak mengulangi kesalahan yang pernah dilakukan oleh umat terdahulu.

Masih banyak impianku yang seperti hampir dapat digapai, tetapi tidak tercapai. Aku sangat berminat dalam bidang kedoktoran, tapi entah bagaimana, semenjak melangkah ke tingkatan 4, aku jadi mabuk darah. Walaupun sedikit, aku bimbang akan menjejaskan kualiti kerjaku sekiranya aku berkeras mahu menunaikan impianku itu.

Aku berkeinginan menjadi peguam, di bahagian Syarie terutamanya kerana aku ingin membela nasib waris-waris yang ditinggalkan dalam keadaan teraniaya oleh bapa-bapa, suami-suami, datuk dan sebagainya. bukanlah semestinya bapa-bapa atau suami-suami itu yang berbuat aniaya tetapi mungkin golongan yang gelap mata dengan dunia. Aku berminat dengan pembahagian Faraid dan berminat dengan dunia perundangan.
Dua kali aku mendapat tawaran untuk belajar dalam bidang ini. Yang pertama di USIM pada tahun 2008 dan kali kedua di Universiti Sultan Syarif Ahmad (UNISSA), Brunei pada pertengahan 2009. Keduanya terpaksa aku tolak kerana masalah kewangan. Bayangkan sajalah kalau belanja untuk yuran pendaftaran saja sudah mencecah B$3000, lebih kurang RM6000, belum dikira kos tambang penerbangan, kos makan-minum di sana, tempat tinggal, buku-buku rujukan... Aku cuma bisa berharap..
Impian ini masih lagi ku simpan kerana aku masih melihat peluang itu dalam jurusan yang aku ambil. Masih ada peluang. Matematik Pengurusan menawarkan pengajian matematik dan pengajian pengurusan. Keduanya penting kalau aku masih mahu menceburi bidang Faraid. Nanti ku usahakan juga agar dapat kerana ku yakin, kalau memang rezekiku di sana, dapatlah aku melakukannya. Tak siapa pun yang tahu apa yang tertulis di Loh Mahfuz.

Aku pernah bercita-cita menjadi penyiasat, tetapi kini aku tidak berminat lagi kerana tugasnya tidak sesuai dengan prinsipku agar tidak keluar malam selagi boleh. Tugas penyiasat pasti akan mengambil waktu malamku. Kalau di kampus, beranilah aku bekerja sampai malam kerana aku masih dapat meyakini kejujuran para pengawal melaksanakan tugas mereka. Kalau di luar sana, aku rasa cukuplah setakat pukul 9 atau 10. Aku tidak cukup berani.

Aku ingin jadi penulis. Aku masih menanti sama ada cerpen yang ku hantar ke Remaja akan disiarkan dan aku tetap membelinya sekerap mana yang aku dapat kerana aku mahu menatap hasil karya yang tersiar agar dapat aku perhatikan gaya bahasanya. Aku masih berharap.

Aku sekarang tidak sabar-sabar hendak menjadi graduan. Aku berharap dapat bekerjasama dengan PTS Publications kerana tugas yang mereka laksanakan amat halus dalam pandangan mataku. Budaya mereka amat bertepatan dengan hati kecilku dan buku-buku yang mereka hasilkan sangat enak dibaca (bukan dimakan, ya).

Aku juga pernah bercita-cita agar dalam tempoh 6 tahun ini aku dapat membuat perpustakaan miniku sendiri dan buku-buku yang hendak ku jadikan koleksi juga sudah ku pilih. Buku pertama sudah ku beli pada penghujung 2007 dahulu, yang diprovokasi oleh ibuku kerana tajuknya. Buku itu bertajuk Psikologi Cinta. Buku ini hasil tulisan pakar motivasi terkenal Dr. Mohd Fadzilah Kamsah dan Syaidatun Nazirah. Buku ini adalah terbitan PTS dan membuatkan aku jatuh cinta pandang pertama terhadapnya. Kalaulah ibu tahu apa isinya, pasti dia tidak memprovok aku seperti itu. Dia katakan aku sudah gilakan cinta teman sekelasku (Aku tidak mencintainya sekeras itu sehingga aku benar-benar inginkan ikatan. Aku mencintainya selagi dia mencintai ALLAH. Itu niatku sejak aku merasakan kehadiran cinta itu dan aku berharap ia masih tidak berubah. Aku amat berharap ibu dapat memahami hatiku..)

Buku kedua dalam koleksiku adalah Stefa Isle tulisan (juga pakar motivasi) HM Tuah Iskandar. Buku ini adalah antara novel kegemaranku. Isinya bukan sekadar kisah cinta (aku mengaku ada kisah cinta di dalamnya) tetapi lebih kepada motivasi diri ke arah kemajuan. Kisah Stefa dengan Halif sehingga dia memeluk Islam, kisah Lia yang melarikan diri ke London untuk membuktikan kemampuannya kepada keluarganya, kisah Roylizam yang mencari Lia di kota London kerana bimbang dipertanyakan tentang tanggungjawabnya mengenai kehilangan Lia.. Banyak, terlalu banyak untuk ku ceritakan di sini (dan nukilan ini sudah menjadi terlalu panjang pada pandangan mataku dan aku harap kalian tidak bosan membacanya).

Aku sudah menyenaraikan beberapa lagi tajuk dalam fikiranku untuk dipertimbangkan. Aku berharap aku dapat mengumpulkan dana yang cukup.

Satu fakta sejarah. Tuan Raffles, seorang pegawai Inggeris di zaman Munsyi Abdullah, telah mengumpulkan banyak hikayat Melayu lama untuk dikaji. Malangnya kapal yang dinaikinya terbakar dalam perjalanan pulang ke tempat asalnya (sengaja atau tidak, aku tidak tahu) tetapi banyak manuskrip kisah sejarah Melayu musnah oleh kebakaran itu. Aku amat berharap aku berkesempatan hidup di zaman itu.

No comments: