Sunday, January 24, 2010

SalaAm..

Kehidupan pelajar
Hidup yang tidak ada duanya
Kehidupan yang penuh suka duka

(Terjemahan potongan kisah dari Kalam Jamaie sewaktu HaWa tingkatan empat.)

Hidup memang penuh dengan tugasan yang tidak akan habis. Begitulah yang dinamakan hidup di dunia. Setiap saat waktu mengejar kita. Seperti peribahasa Arab, al waqt ka saif. Masa ibarat pedang. Jika kita tidak memotongnya, ia akan mencantas batang-batang leher kita.

Tiga subjek matematik untuk semester ini cukup menambahkan beban dan menyesakkan dada. Linear, kalkulus dan logik. Semuanya mempunyai skop berbeza. Memang sukar untuk dikejar tanpa perancangan.

HaWa pula masih sempat menyesat ke dunia buku. Baru-baru ini HaWa beli jurnal dan buku terbitan UPENA. Semuanya berjumlah kurang RM30 untuk tujuh buah buku. Lima jurnal, satu buku berkenaan budaya Melayu untuk subjek Hubungan Etnik dan satu buku berkenaan hukum syarie.

Rasa teruja masih ada. Saat Terakhir yang diterbitkan dalam majalah Remaja edisi 15 Januari 2010 menjadi titik tolak perjalanan HaWa sebagai penulis. Cerpen itu adalah cerpen yang terbaik pernah HaWa hasilkan, dan ternyata diterima oleh pihak editor majalah Remaja. Terima kasih buat cikpuan Wan Erni Liza.

Syarat untuk menyertai Minggu Penulis Remaja sudah lengkap. Hanya masa menentukan. Mungkin juga HaWa tidak akan menyertai kursus penulisan itu sama sekali, walaupun sebenarnya niat sudah ditanam sejak di tingkatan dua; selepas kali pertama bertemu SN A. Samad Said. Tempoh masa yang tinggal hanya setahun sahaja lagi, sebelum usia HaWa mencecah 21.

Bosan? Mungkin pengisian blog kali ini membosankan. HaWa sedang berlatih menggunakan Bahasa Melayu Tinggi dalam penulisan. Terima kasih kerana sudi membaca sehingga perenggan ini.

HaWa baru periksa statistik pelawat. Mungkin trafik blog HaWa belum cukup tinggi jika dibandingkan dengan blog penulis lain, tetapi dengan rekod 8 orang pelawat baru hari ini, masih cukup memuaskan hati. Kebelakangan ini banyak pelawat baru yang datang. Mungkin prestasi blog ini agak perlahan. Selepas lebih dua tahun diasaskan, baru mula ada pengikut (follower).

Sekarang masa untuk bersiar-siar di blog orang sambil meninggalkan jejak (blogwalking).

No comments: