Saturday, September 01, 2007

Apa Ertinya

SalaAm..

Baharu saja kita dengarkan laungan MERDEKA pada sambutan kebebasan Tanah Melayu untuk yang ke-50. Malam itu asrama kami turut menyambut perayaan kemerdekaan tersebut. Dalam kami khusyuk membaca ayat-ayat suci dari surah Yasin, kelihatanlah sekumpulan anak muda bermotosikal melalui kawasan sekolah. Kebetulan aturcara ini kami adakan di padang sekolah yang berdekatan dengan jalanraya utama sekolah. Maka kelihatanlah jelas anak-anak gadis berpakaian agak ketat dan ada pula yang bertudung tetapi berseluar hanya paras betis. Tidak lama kemudian, lalu pula beberapa anak muda mengekori mereka dan bergerak beriringan. Ke mana agaknya tujuan mereka?

Insiden ini mungkin jarang kami saksikan lantaran tinggal di asrama. Tetapi perkara ini sudah cukup untuk mencemarkan maruah bangsa dan agama kita. Apakah sebagai umat islam kami harus membiarkan saja kejadian ini? Lalu apa yang mampu kami perbuat hanyalah beristighfar di dalam hati dan meminta agar dijauhkan dari segala keburukan. Bukankah Nabi s.a.w pernah bersabda yang maksudnya " Siapa di antara kamu yang melihat kemungkaran hendaklah kamu mengubahnya dengan tangan. Sekiranya tidak mampu hendaklah mengubahnya dengan lidah. Sekiranya tidak mampu hendaklah mengubahnya dengan hati dan itulah selemah-lemah iman."

Apakah sudah tidak janggal lagi melihat anak-anak gadis berkeliaran pada waktu malam? Bukankah dalam Islam orang perempuan itu tempatnya di rumah? Bukanlah maksudnya wanita itu tempatnya hanya di dapur. Tetapi mereka hendaklah menutupi diri daripada pandangan liar lelaki-lelaki ajnabi yakni yang halal dikahwini.

Peristiwa malam merdeka sudah membuktikan bahawa generasi baru sudah mula terpesong daripada konsep kebebasan yang sebenar. Nyata bahawa mereka belum merdeka sepenuhnya daripada penjajahan minda. Seharusnya kemerdekaan itu diisi dengan sesuatu yang ilmiah. Bukannya dengan pesta-pesta ala kebaratan. Bukanlah merdeka namanya jika budaya barat masih menyelubungi kehidupan kita. Apa ertinya?

No comments: